Sunday, February 7, 2010

Utusan Malaysia:Utusan sasaran Anwar

Utusan sasaran Anwar

Perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim terhadap pembantunya, Saiful Bukhari Azlan menjadi topik perbualan paling panas rakyat Malaysia sepanjang minggu ini. Siapa sangka sejarah berulang lagi. Anwar yang pernah dihadapkan ke mahkamah atas kes liwat lebih 10 tahun lalu, sekali lagi menghadapi tuduhan yang sama.

Awang tidak berminat menyentuh apa yang terkandung dalam perbicaraan kes tersebut, ia urusan mahkamah. Tetapi apa yang berlaku di luar mahkamah juga tidak kurang menarik perhatian.

Seperti biasa, Anwar dan PKR menjadikan akhbar Utusan Malaysia sebagai sasarannya. Laporan polis telah dibuat berhubung tajuk berita muka depan Utusan yang didakwanya sebagai penipuan dan berniat jahat. Begitu juga gambar Bernama yang memaparkan Saiful menunjukkan katil, turut mengundang aduan polis. Cubaan Anwar semasa perbicaraan untuk mensabitkan Utusan menghina mahkamah ditolak oleh hakim kerana tiada asas tetapi PKR tidak berdiam. Anwar menerusi portal berita pro pembangkang melabelkan Utusan sebagai biadap, kotor dan jijik. Mengapa Anwar begitu sensitif kepada Utusan? Laporan akhbar Cina hampir sama dengan Utusan termasuk penyiaran gambar katil tetapi yang tetap menjadi sasaran adalah Utusan.

Awang tidak terkejut kerana Anwar sememangnya sejak dahulu lagi menyerang institusi Melayu seperti Utusan. Sebab itu, apa sahaja kata nista Anwar terhadap Utusan, Awang tidak ambil pusing. Malah Awang tidak akan menggunakan istilah kotor dan jijik terhadap apa sahaja perbuatan beliau termasuk gerakannya bersama DAP memboikot dan melemparkan banyak tuduhan liar terhadap Utusan selama ini. Anwar turut mendakwa Utusan sengaja mensensasikan kes beliau. Sebenarnya, semua akhbar memberikan liputan besar, bukan sahaja Utusan. Berita tetap berita. Lagi tinggi kedudukan dan jawatan seseorang yang disabitkan dengan kes mahkamah apatah lagi kes liwat, lagi tinggi nilai berita. Anwar tentu tahu hakikat itu tetapi beliau ada muslihat mahu mengalih perhatian daripada keterangan penting pada perbicaraan itu.

Pada Awang, jika kes tersebut dilihat begitu sensasi, ia juga antara lain berpunca daripada tindakan beliau. Sebelum mahkamah bersidang, ketua pembangkang itu telah lama mengadakan perbicaraan di luar mahkamah dengan mengadakan road show untuk memberikan versi beliau bagi mempertahankan diri.

Kali ini, usaha Anwar mengheret rakyat dalam isu moralnya dengan membakar sentimen awam, tidak berhasil. Hanya puluhan sahaja penyokongnya hadir. Malah cubaan untuk mengadakan demonstrasi selepas sembahyang Jumaat, juga gagal kerana orang ramai tidak mahu terjebak. Ekoran itu, khabarnya, PKR terpaksa memanggil mesyuarat bagi mencari jalan menghimpunkan jumlah penyokong yang besar, selepas ini.

Awang juga berharap kumpulan sorak PKR di mahkamah tidak bertindak keterlaluan. Perbuatan penyokong dan seorang anggota keluarga tertuduh menjerit terhadap Saiful memintanya bertaubat dan penghinaan yang lain, adalah tidak wajar. Bagaimana pula jika kumpulan atau individu yang bersimpati dengan Saiful membalas bahawa Anwar yang sepatutnya bertaubat dan apa pula perasaan beliau? Maka serahkan sahaja kepada proses mahkamah. Demi mencari keadilan, lapangkan hati dan tenteramkan jiwa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...